Friday, September 10, 2010

Ukhuwah Tanpa Sempadan

Kabur pandangan kita dikilau usia senja. Dipancar emas, perak dan gangsa. Hidup kita dikelabui duka dan nestapa, dan dinodai arus jiwa yang lara. Ayuh kita sama-sama memeriahkan suasana raya dengan menggembleng tenaga, berjabat tangan, dan beramah mesra sesama manusia. Sepuluh jari disusun rapi, maaf dipinta kalau jiwa teruji, segala silap harap dimaafi, dari hujung rambut hingga hujung kaki. Yang baik diambil sebagai teladan, yang buruk kita ambil sebagai sempadan. Gunakan sengketa lama sebagai iktibar dah bukan mancis permusuhan.Tiada hari yang lebih murni daripada Syawal ini untuk kita membuka lembaran baru dalam kehidupan kita.

Setelah sebulan menahan lapar dan dahaga, menepis segala hawa nafsu, beribadah dan beramal untuk membantu, bermakrifat tentang kehidupan dunia dan barzakh, inilah masa yang sesuai untuk kita menyedut segala bisa dan noda kehidupan  dan memulakan dengan langkah yang baru.

Sebagai ciptaan tuhan, tiada yang terlepas daripada kesilapan dan segala ketidaksempurnaan walaupun luarbiasa. Setiap perkataan yang dihembuskan, setiap langkah yang dilakukan dan setiap gerak-geri yang kita lakarkan, kita tidak akan terlepas daripada tohmahan dan sangkaan buruk orang lain. Oleh itu, mari kita gunakan hari suci ini untuk merenung kembali kesilapan yang kita lakukan, dan memperbaiki jiwa kita. Bersalah atau tidak, tidak elok kita hidup bermusuhan sedangkan lidah lagi tergigit.

Secara peribadi, saya ingin memohon maaf dari hujung rambut, hingga hujung kaki, zahir dan batin daripada keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai. Mereka yang telah menjadi nadi dan naluri kehidupan saya dan telah menyemarakkan kehidupan saya. Sungguhpun saya tidak sempurna, mereka yang menegur dan sentiasa berdamping walaupun ditimpa hujan dan badai. Semoga ukhuwah dan persahabatan kita dapat diperutuhkan lagi. Minta maaf kalau terkasar bahasa atau tersinggung hati apabila bergurau senda.

Tidak terkecuali, maaf dipinta daripada anak-anak murid saya serta keluarga mereka. Sekiranya saya tertinggikan suara atau terlampau cara, harap dimaafkan sebab sebagai pendidik (dalam segala bidang), kita manusia yang juga membuat kesilapan.

Kepada yang lain-lain yang saya kenal tetapi jarang bertemu atau berbual, maaf juga diharapkan sekiranya kalau terserempak tidak bertegur, kalau berbual terlanjur, dipanggil tidak bersahut. Saya harap tahun ini silaturahim kita dapat dieratkan lagi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua! Halalkan juga segala makan minum. Diharapkan bulan ini diisikan dengan pengampunan dan pengeratan silaturahim agar dapat diberkati malikuljabbar.

No comments:

Post a Comment